KUALA LUMPUR: Pelaksanaan gaji minimum merupakan salah satu langkah negara bergerak ke arah mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja luar, tetapi majikan juga perlu melihatnya sebagai ganjaran terhadap penat lelah pekerja.

Felo Angkasa-UMK Academy (AURA) Prof Balakrishnan Parasuraman berkata, dari perspektif hubungan industri, kedua-dua pihak iaitu majikan dan pekerja mempunyai peranan yang penting dalam pelaksanaannya.

"Kenapa majikan membayar gaji kepada pekerja? Perkara ini perlu dilihat dari asasnya. Saya nampak majikan tidak sedar tetapi sekarang sudah ada gaji minimum, jadi kita kena lihat dari aspek undang-undang, di mana majikan akan dikenakan penalti yang tinggi jika gagal melaksanakannya.

"Gaji minimum bertujuan membawa negara bergerak kepada penggunaan tenaga kerja tempatan. Seorang pekerja bekerja untuk syarikat, apabila sudah ada pulangan, majikan kena bayar lebih.

"Kalau gaji masih rendah, kita boleh persoalkan bagaimana majikan ini menguruskan pekerja," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Selasa.

Beliau mengulas kekecewaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan tindakan segelintir majikan yang didapati menawarkan gaji tidak setimpal dengan kelayakan dan skop kerja rakyat tempatan.

Dalam masa yang sama, beliau mahu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terus dibantu bagi membolehkan mereka juga melaksanakan gaji minimum yang mampu menarik lebih ramai anak muda tempatan untuk bekerja.

"Setiap kali pembentangan Belanjawan, PMKS dapat peruntukan besar, jadi kenapa ia tidak digunakan untuk tingkatkan produktiviti dan pulangan? Kita tidak boleh persoalkan undang-undang, yang kita persoalkan ialah insentif khas yang diberi.

"Jangan sampai insentif yang diberi tidak sampai kepada majikan. Ini isu semasa PKP dahulu, di mana banyak majikan mengadu tidak dapat dana, dana tidak sampai kepada mereka.

"Perdana Menteri sebagai ketua kena pantau, Kementerian Sumber Manusia sudah bertungkus-lumus, kementerian lain juga harus beri bekerjasama kerana dalam konteks gaji, ini melibatkan semua kementerian.

Tambahnya, semua pihak perlu memikirkan di manakan negara berada lima tahun akan datang supaya isu ini tidak berterusan tanpa penyelesaian.

"Adakah lima tahun akan datang kita masih mahu bercakap tentang gaji, atau bergerak ke arah produktiviti?

"Kerajaan kena pantau syarikat-syarikat PMKS ini supaya mereka boleh sumbang kepada GDP negara. Belanjawan akan datang harus letakkan satu formula di mana boleh syarikat PMKS boleh dibantu untuk melaksanakan gaji minimum," katanya lagi.

Majikan perlu ambil serius pelaksanaan gaji minimum