Majlis Keselamatan PBB bersidang Ahad bincang konflik Palestin-Israel

Raja Hisyam Raja Zaid
Mei 15, 2021 08:09 MYT
Cadangan tersebut hadir menerusi suara dari negara China, Norway, Tunisia dan beberapa negara Islam lain. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan bersidang esok (Ahad) bagi membincangkan isu ketegangan konflik Palestin- Israel yang semakin memuncak ketika ini.
Sesi itu mendapat persetujuan untuk diadakan secara televideo yang dijadual akan dilangsungkan kira-kira jam 10 malam waktu Malaysia.
Amerika Syarikat (AS) sebelum ini dikatakan menolak beberapa cadangan daripada negara Islam untuk sidang tersebut diadakan lebih awal.
Cadangan tersebut hadir menerusi suara dari negara China, Norway, Tunisia dan beberapa negara Islam lain.
Presiden AS Joe Biden sebelum ini turut mempertahankan rakan sekutu negara itu, Israel dengan mendakwa tindakan negara Yahudi itu sebagai langkah mempertahankan diri daripada serangan Hamas dan bukannya satu bentuk keganasan terhadap rakyat Palestin.
#PBB #AS #Islam #Hamas #China #Israel #Tunisia #presiden #serangan #rakyat #keselamatan #Malaysia #Joe Biden #Palestin