Majlis Peguam pada Khamis menganjurkan satu perarakan bagi membantah Akta Hasutan 1948.

Perarakan yang digelar 'Perarakan untuk Keamanan dan Kebebasan 2014' bermula dengan para peserta mula berkumpul di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

Ia dihadiri kebanyakannya oleh para peguam dan anggota dari Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Dianggarkan seramai 600 peserta menyertai perarakan itu.

Walk for Peace and Freedom
Seorang peguam memegang plakad "Hormat-menghormati Perpaduan" -Astro AWANI/Shahir Omar

10 pagi: Para peguam yang memakai kot masing-masing tiba di Padang Merbok.

Lebih kurang 600 peguam dan ahli NGO berkumpul di tempat letak kereta kawasan berkenaan sebelum Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong memberikan ucapan.

Walk for Peace and Freedom
Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong melaungkan "Mansuh... Mansuh... Akta Hasutan!" -Astro AWANI/Shahir Omar

11 pagi: Christopher memberikan ucapan kepada mereka yang hadir.

"Kita lakukan ini bukan sahaja untuk diri kita, kawan-kawan kita, ahli keluarga kita tetapi kita lakukan ini untuk generasi masa hadapan Malaysian," kata Christopher dalam ucapannya.

Walk for Peace and Freedom
Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong mengetuai 'Perarakan untuk Keamanan dan Kebebasan 2014' -Astro AWANI/Shahir Omar
11.40 pagi: Christopher mengetuai perarakan dari Padang Merbok ke Parlimen.


Walk for Peace and Freedom
Perarakan dilakukan secara aman dan tidak menjejaskan jalan raya ke arah Parlimen. -Astro AWANI/Syafique Shuib

11.50 pagi: Cuaca terik 30 darjah Celsius tidak mematahkan semangat para peguam dan aktivis untuk berarak ke Parlimen.

Mereka berjalan sejauh satu kilometer.

Walk for Freedom and Peace
Parlimen Malaysia dikawal ketat dan keadaan tetap aman. -Astro AWANI/Syafique Shuib

12 tengah hari: Para peguam, aktivis, dan wakil-wakil media tiba di pintu utama Parlimen.

Christopher dan sembilan wakil Majlis Peguam yang lain memasuki Parlimen untuk menyerahkan memorandum.

Ketika di dalam Parlimen, memorandum diberikan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong. Ia kemudian akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Walk for Peace and Freedom
Presiden Majlis Peguam Leong memberikan ucapan di pintu masuk Parlimen ketika selesai memberikan memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong. -Astro AWANI/Syafique Shuib

1 tengah hari: Christopher keluar dari pintu utama Parlimen dan memberikan ucapan kepada peserta perarkan yang menunggu beliau.

"Kami telah mencapai apa yang kita ingin lakukan hari ini tetapi hari ini bukan perjuangan terakhir. Hari ini adalah permulaan proses dan kempen kami untuk Malaysia yang lebih baik.

"Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mah Siew Keong, bertemu kami di Parlimen. Kami telah mengadakan perbincangan yang bermanfaat. Beliau telah memberi jaminan kepada kita bahawa semua pandangan yang terkandung dalam memorandum akan disampaikan kepada Perdana Menteri.

“Perubahan di Malaysia tidak akan berlaku begitu sahaja. Ia mengambil masa,” kata Christopher kepada pemberita.