KUALA LUMPUR: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) pada Khamis mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bagi membangkitkan keperluan mengadakan sidang Dewan Rakyat.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu adalah selaras dengan kenyataan media Istana Negara yang membenarkan sidang Parlimen dalam tempoh darurat.

“Sesuai pertemuan itu, Majlis Presiden PH turut mengadakan mesyuarat bagi membincangkan hasil pertemuan tersebut.

“Selain itu, Majlis Presiden turut menyentuh beberapa isu mutakhir serta persiapan menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya dalam satu hantaran ringkas di akaun Facebooknya di sini, pada Khamis.

 
Sumber Facebook anwaribrahim.keadilan

Pada 24 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara menyebut, bahawa perkara berkenaan termaktub dalam sub perenggan 14 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.