Majlis sosial: KKM pantau SOP, ambil tindakan jika berlaku penularan COVID-19

Nursyazwani Saiful Sham
Jun 24, 2020 10:31 MYT
Kementerian Kesihatan (KKM) akan memantau secara rapi majlis-majlis sosial termasuk majlis perkahwinan yang akan dijalankan bermula 1 Julai ini. -Gambar hiasan
Kementerian Kesihatan (KKM) akan memantau secara rapi majlis-majlis sosial yang akan akan kembali dibenarkan bermula 1 Julai ini.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, sekiranya terdapat penularan jangkitan pada mana-mana majlis sosial, tindakan sewajarnya akan dilakukan.
“Bagi majlis-majlis sosial ini, sekiranya terdapat penularan COVID-19 dalam majlis sosial atau lokaliti tersebut, kita akan tutup lokaliti itu.
“Kita juga akan tutup hotel atau restoran di mana berlakunya penularan tersebut. Buat masa ini, kami benarkan ia untuk berlangsung tetapi kita akan pantau sama ada terdapat penularan kes atau tidak.
“Sekiranya terdapat kes baharu atau kluster baharu, kita akan lakukan tindakan yang sewajarnya,” katanya pada sidang media di Putrajaya pada Rabu.
Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri dalam sidang media hari ini antaranya memaklumkan bahawa majlis sosial kembali dibenarkan bermula 1 Julai ini.
BACA: Alhamdulillah ... majlis kahwin dibenarkan mulai 1 Julai
Ini termasuk majlis perkahwinan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
#COVID-19 #Kementerian Kesihatan #Ketua Pengarah Kesihatan #KKM #majlis perkhawinan #majlis sosial