TUMPAT: Mahkamah Rendah Syariah Tumpat pada Rabu menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,700 ke atas seorang lelaki selepas mengaku bersalah kerana tidak berpuasa.

Tertuduh berusia 35 tahun yang bekerja sebagai buruh mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Tumpat, Mazlan Abdullah semasa pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasan Undang-Udang Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik), Mohd Fadzuli Mohd Zin berkata, lelaki berkenaan ditangkap semasa sedang makan nasi di sebuah kedai runcit di Kampung Sedar, Tumpat pada 14 April lalu.

"Kesalahan itu dilakukan lelaki berkenaan semasa serbuan dilakukan oleh pihak kami pada jam 9.20 pagi.

"Kesalahan itu dilakukan bawah Seksyen 10 (b) Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, mengikut seksyen tersebut pesalah boleh dijatuhkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, tertuduh telah membayar denda tersebut sebagaimana ditetapkan oleh pihak mahkamah.

"Jika gagal berbuat demikian tertuduh boleh dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh bulan," katanya.

*Artikel asal disiarkan di Sinar Harian