Bermula dengan mahu mendalami kajian dan minat kepada sejarah Asia Tenggara, ia membawa saya kepada Thailand, sebuah negara jiran yang letaknya hanya di jendela perbatasan dengan Malaysia.

Semakin mendalami Thailand, semakin melimpah minat saya kepada isu minoriti dan dakwaan penindasan oleh pemerintah di selatan Thailand.

Melimpahnya minat kepada isu minoriti dan penindasan menggerakkan pula hubungan saya dengan pelbagai pihak di tiga wilayah yang ada di selatah Thailand - Narathiwat , Yala dan Pattani.

Sepanjang kajian dan tugasan itu, orang yang saya jumpa termasuk penduduk kampung yang rata-rata memberi suap keluarga apabila mengalirnya susu batang getah; belia menganggur dan ada pekerjaan, kalangan masyarakat madani, generasi Y, mahasiswa, Imam, sami, tentera, polis dan pihak kepimpinan tertinggi di universiti. Pandangan dan buah fikiran mereka saya kutip, rangkum dan sebarkan pula kepada khalayak berhubung cerita sebenar cita-cita keamanan selatan Thailand.

Begitu ramai individu yang saya jumpa sepanjang empat kali lawatan ke tiga wilayah bergolak dalam tempoh dua tahun lalu.

Paling saya ingat, pertemuan dengan seorang imam di Pattani, namanya.

imam

Orangnya sederhana, cukup santun apabila berbicara, penuh falsafah menyokong kenyataan yang keluar dari mulutnya.

Yaakob, saya dokumentasikan fikiran bernasnya dalam program khas diterbitkan saya pada 25 Mac 2013, berjudul “Resah Damai Selatan”.

Apa yang dikagumi tentang Imam Besar Masjid Jamek Pattani ini ialah betapa beliau mahu keamanan dan perdamaian di seluruh wilayah di selatan Thai ditangani secara hemah agama.

“Apa yang jadi di tiga wilayah selatan Thai sekarang ialah kerana pemuda pemudinya menjauhi masjid, tetapi lebih dekat dengan hiburan, dadah dan daun ketum. Kerana dadah, anak boleh bunuh ayah, manusia hilang waras di tangan senjata.

Sebab itu, agama juga ubatnya di atas semua yang berlaku tanpa henti sekarang,’’ kata Yaakob ketika saya tanya apa punca sebenar putaran keganasan di tiga wilayah di selatan Thailand sejak 2004.

imam

Pandangan itu sebenarnya sisi jelas kehendak Imam Yaakob untuk mengembalikan keamanan di selatan Thailand _ hasrat yang juga menjadi idaman Kuala Lumpur sebagai fasilitator dialog damai yang sedang berjalan sekarang. Ia dihentikan seketika pada bulan Ramadan dan akan disambung semula selepas Aidilfitri.

Sayangnya, tanpa mahu jadi pesimis, siri dialog damai itu dibimbangi tidak akan bersambung semula atau barangkali boleh ditangguhkan kerana keganasan masih lagi berlanjutan walaupun gencatan dipersetujui sepanjang Ramadan oleh pihak yang terlibat iaitu Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan tentera Thailand sebagai pentadbir Bangkok. Dalam gencatan yang dipersetujui antaranya, BRN perlu menggantung sebarang aktiviti keganasan di tiga wilayah, manakala tentera pula perlu mengurangkan kehadiran mereka berkawal di Narathiwat, Yala dan Pattani, kerana itu tidak disenangi penduduk.

Dengan kematian Yaakob pada petang Selasa, 6 Ogos 2013, semasa membeli juadah berbuka bersama isteri di Kampung Cabang Tiga, Pattani, prospek damai yang cuba diusahakan Malaysia itu terus malap, walaupun masih lagi belum berkubur, Alhamdulillah.

Yaakob merupakan individu yang dipanggil secara langsung berunding dengan tentera untuk diambil pandangannya bagaimana mahu mengembalikan keamanan di tiga wilayah bergolak. Berkali-kali Yaakob berkata : “Keamanan tidak boleh dipulangkan secara ancaman atau keganasan, agama harus ada tempat jika keamanan yang dicari.

Ini kerana hukumnya mudah : Mana-mana agama sekali pun, tiada sokong keganasan, semua tolak keganasan, tetapi mahu penganutnya mencintai keamanan.”

Yaakob semasa hayatnya bukan individu yang gemar mencari dan membuat onar dengan orang lain. Beliau diberi anugerah Imam Terbaik Pattani oleh kerajaan Thailand, tetapi tidak sempat menerimanya kerana dijemput Illahi terlebih dahulu.

Namun, kebaikan dan hasrat murni Yaakob yang mahukan damai dicapai di selatan Thailand tidak disenangi pihak yang merasakan tergugat jika ia direalisasikan.

Polis yang menyiasat kes pembunuhannya mengakui, peluru yang digunakan sama seperti kes-kes keganasan lain oleh pemisah di Pattani sebelum ini.

Kematian Yaakob, bukan sahaja mengejutkan saya secara peribadi kerana pernah meluangkan masa membaca fikirannya; tetapi lebih daripada itu, ia merintis dimensi baru kepada usaha damai di selatan Thailand.

Tidak mustahil selepas ini, kumpulan pemisah yang terlibat dalam rundingan, dicurigai dan tidak dipercayai lagi. Jika keganasan terus berlaku, pergerakan prospek damai tidak akan berlaku dan bagaimana Malaysia boleh menjalankan tugasnya sebagai fasilitator dalam hal ini.

Semuanya masih samar, masih ilusi.