KUALA LUMPUR:Bermula 22 Oktober (esok) sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), maksimum 30 peratus pekerja sektor awam sahaja dibenarkan berada di pejabat.

Ini dilakukan sama ada secara penggiliran atau atau sepenuh masa agar kehadiran mereka di pejabat pada kadar minimum sepanjang tempoh PKPB dikuatkuasakan.

Malah semua aktiviti bersemuka seperti mesyuarat, perbincangan atau latihan akan dilakukan secara dalam talian sepenuhnya semasa tempoh berkenaan.

Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, ketua-ketua jabatan perlu memastikan pegawai di peringkat pengurusan dan pentadbiran yang tidak diperlukan bekerja dari pejabat untuk bekerja dari rumah.

“Dokumen rahsia rasmi adalah tidak dibenarkan dibawa keluar sepanjang tempoh in,"  katanya dalam satu pekeliling, hari ini.

“Walau bagaimanapun, ketua jabatan boleh mempertimbangkan atas kepentingan tugasan dan prinsip bekerja dari rumah untuk memberi kebenaran membawa keluar dokumen rahsia rasmi termasuk salinan hardcopy atau softcopy berdasarkan garis panduan membawa rahsia rasmi keluar dari pejabat semasa tempoh perintah kawalan pergerakan oleh pejabat ketua pegawai keselamatan kerajaan Malaysia,” katanya lagi.


Bagaimanapun, tegas beliau, arahan kehadiran bertugas ini adalah terkecuali kepada penyampaian perkhidmatan-perkhidmatan penting yang ditentukan oleh ketua jabatan selaras dengan surat edaran JPA.

Tambah Mohd Khairul, arahan untuk bekerja dari rumah itu juga dipanjangkan kepada semua perkhidmatan negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan yang dikenakan PKPB.

PKPB berkuatkuasa di seluruh Sabah mulai 13 Oktober sehingga 26 Oktober manakala di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Labuan, bermula 14 Oktober sehingga 27 Oktober.

Ia bertujuan mengekang penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat selepas Pilihan Raya Negeri Sabah lalu.



 
Pada Selasa, kerajaan mengarahkan pekerja-pekerja di sektor awam dan swasta di peringkat pengurusan dan pengawasan di kawasan PKPB bekerja dari rumah dan tidak perlu hadir ke pejabat.
 
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan tersebut mula berkuatkuasa 22 Oktober (Khamis) ini dan hanya akan tamat apabila pelaksanaan PKPB di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah berakhir.

Dalam perkembangan sama, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pula memaklumkan, seramai 776,135 individu atau 25 peratus pekerja dalam bidang pengurusan dan penyeliaan diarahkan bekerja dari rumah bermula esok .

Jumlah tersebut, kata Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,  merupakan sebahagian daripada 3.1 juta pekerja di Sabah, Labuan, Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya, dalam bidang pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, MITI bersetuju membenarkan maksimum 10 peratus pekerja merangkumi tugasan melibatkan perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan dan ICT untuk berada di pejabat.

BACA: PKPB: Hanya 10 peratus dibenar bekerja di pejabat, empat jam sehari - MITI