Malaysia akan terus komited untuk mengesan pesawat MH370 yang hilang di lautan Hindi kira-kira dua tahun lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata, kerjasama dengan China dan Australia juga akan diteruskan dalam pencarian itu sehingga terjumpanya petunjuk-petunjuk baharu.

Namun katanya, operasi pencarian pesawat malang itu kemungkinan ditangguh buat sementara waktu pada penghujung tahun ini berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

"Kita difahamkan setakat ini masih lagi terdapat dua kapal sedang berada di Lautan Hindi meneruskan usaha-usaha pencarian pesawat MH370," katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas mengunjungi dua warga emas di Kampung Drahman Kria di sini pada Sabtu sempena Program Ziarah Kasih Jabatan Penerangan Bahagian Sarikei.

Jailani yang juga pengerusi jawatankuasa komunikasi dan media yang dilantik kerajaan bagi pencarian pesawat MH370 berkata, kerajaan sentiasa memaklumkan perkembangan terkini kepada waris-waris mangsa tragedi MH370 itu.

"Setakat ini difahamkan penyiasat berada di Canberra (Australia) untuk menganalisis serpihan-serpihan yang dijumpai. Kita tunggu hasil siasatan dan analisis," jelasnya.

Terdahulu beliau berkata, kementeriannya akan memperkasakan gerakan Komuniti 1Malaysia (K1M) termasuk 235 K1M di Sarawak yang berperanan sebagai pengantara kerajaan dan rakyat.

Menurutnya, penambahbaikan akan dilakukan secara menyeluruh termasuk mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) dan peruntukan kewangan. -- Bernama