Malaysia akan belajar daripada pengalaman China menangani wabak COVID-19 melalui lapan pakar perubatan dari negara itu yang tiba di Malaysia semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bukan hanya kejayaan yang akan dikongsi, malahan kaedah-kaedah yang gagal juga akan dibincang bersama antara pakar dari China dan pasukan perubatan Malaysia.

"Bukan saja perkara yang positif, ada perkara yang mereka buat tak berjaya, kita pun nak belajar perkara mereka yang tidak berjaya supaya kita tak mengulangi perkara yang telah mereka laksanakan tetapi tiada impak.

"Mereka bukan datang untuk membantu kita merawat, (tetapi berkongsi pengalaman) sebab virus ini virus baharu.

"Apa yang mereka ada ialah sama ada berjaya atau tidak. Kedua-duanya penting untuk kita (belajar). Kalau berjaya mungkin kita akan teruskan usaha untuk guna kaedah mereka tetapi kalau tidak berjaya kita belajar daripada cara mereka laksanakan, kita jangan ulangi kaedah-kaedah yang tidak berjaya," katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, antara perkara yang akan dibincangkan bersama ialah isu perawatan pesakit di wad dan Unit Rawatan Rapi (ICU), isu penyelidikan, penggunaan teknik-teknik atau kaedah-kaedah tertentu sama ada antigen, antibodi dan sebagainya.

"Cara kita berdiskusi atau berbincang dengan mereka tu penting dan dapat menambahkan pengetahuan kita mengenai virus yang baharu, ramai antara kita tidak pasti lagi cara virus ni merebak, cara virus ini menyebabkan kelemahan tubuh dan isu-isu lain kerana mereka ada pengalaman sebab tempoh dua bulan mereka dah berhadapan dengan virus ini di Wilayah Hubei," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan setiap kesihatan pesalah yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dimasukkan ke pusat tahanan sementara, terjaga bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismal Sabri Yaakob mengumumkan sebanyak 11 pusat tahanan sementara bagi menempatkan pesalah PKP akan mula beroperasi Khamis ini. - BERNAMA