KUANTAN: Ekoran isu Myanmar yang tidak menunjukkan sebarang kemajuan positif terhadap Konsensus Lima Perkara, Malaysia akan mencadangkan ASEAN untuk bersikap lebih tegas pada mesyuarat tidak rasmi Menteri-Menteri Luar-India di New Delhi pada 16-17 Julai ini.

Menurut Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, telah lebih setahun konsensus itu dicadangkan kepada Myanmar namun jumlah kematian, kemusnahan, insiden-insiden bersenjata, semakin bertambah.

Justeru katanya, ASEAN perlu mengambil pendekatan lain sekiranya ASEAN tidak mampu menanganinya secara bersendirian.

Malah tambah Saifuddin, pendekatan itu perlu segera diambil bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi negara-negara jiran Myanmar sendiri kerana terpaksa menerima pelarian mereka yang tidak berkesudahan.

"Pemimpin ASEAN kena buat keputusan macam mana nak buat. Sudah setahun setengah tak bergerak atau bergerak sikit sangat. Jumlah yang mati bertambah, jumlah yang lari daripada sana bertambah, jumlah pelarian di Malaysia pun bertambah, jumlah pelarian dekat Bangladesh bertambah.

"Maka apa nak buat? Maka masa itu pemimpin ASEAN kena fikirlah, ASEAN sendiri boleh buat atau pun ASEAN sendiri kena minta bantuan. Kalau kena minta bantuan, minta bantuan siapa? Tak boleh nak tunggu ASEAN Summit 2024 pula baru nak buat keputusan. Lagi ramai orang mati, lagi ramai pelarian, lagi ramai datang Malaysia. Itu tak selesai masalah," katanya.

Saifuddin berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kursus Bahasa Isyarat di Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota di sini pada Ahad.

Saifuddin turut memaklumkan kesediaan beberapa negara untuk menerima lebih ramai pelarian Rohingya di Malaysia untuk ditempatkan semula di negara mereka selepas terjejas berikutan pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu.

"Walaupun saya tak boleh sebut negaranya tetapi adalah beberapa negara yang sebelum ini telah mengambil sejumlah pelarian Myanmar yang berada di Malaysia. Mereka berjanji yang mereka akan double pengambilan tahunan mereka," katanya lagi.