Malaysia mencatatkan pertambahan empat kes kematian melibatkan COVID-19, ujar Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Ia menjadikan kes kematian akibat COVID-19 berjumlah 57 kes iaitu 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan.

"Kementerian Kesihatan Malaysia ingin memaklumkan bahawa terdapat 88 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 915 kes (26.27 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)," katanya dalam sidang media di sini pada Sabtu.

Sehingga 4 April 2020 pukul 12 tengah hari, terdapat 150 kes baharu yang telah dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 3,483 kes.

"Daripada 150 kes ini, 80 adalah berkaitan dengan perhimpunan Seri Petaling. Sehingga kini, seramai 99 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 50 kes memerlukan bantuan pernafasan," jelas beliau lagi.

Kes kematian ke-54, iaitu kes 2,149 merupakan seorang perempuan berusia 85 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung. Beliau telah dirawat di IJN pada 23 Mac 2020 dan disahkan meninggal pada 28 Mac 2020 jam 12.10 pagi.

Kes kematian ke-55, iaitu kes 860 merupakan perempuan berusia 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi. Beliau telah dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kelantan 18 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 3 April 2020 jam 4 petang.

Kes kematian ke-56, iaitu kes 2,850 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 56 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung. Beliau mempunyai kontak rapat dengan kes 1,031 dan telah dirawat ke Hospital Umum Sarawak pada 30 Mac 2020. Beliau meninggal dunia pada 3 April 2020, jam 4.16 petang.

Kes kematian ke-57, iaitu kes 1,575 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Beliau telah dirawat di Hospital tengku Ampuan Afzan, Pahang pada 23 Mac 2020 dan meninggal dunia pada 3 April 2020 jam 10.25 malam.


Tambahnya, kebanyakan kes positif yang dikesan adalah berkait dengan mereka yang menghadiri perhimpunan di Seri Petaling (1,545 kes daripada 3,483 kes keseluruhan – 44.36 peratus.

"Kluster ini merupakan kluster yang terbesar setakat ini dan telah mempunyai beberapa generasi kluster jangkitan, misalnya melibatkan ahli keluarga mereka, kontak rapat di masjid dan juga madrasah tahfiz," tambahnya.

KKM akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi mengenal pasti dan menguji semua kontak rapat dalam kalangan kumpulan yang berisiko tinggi ini.

"Orang awam juga diseru agar menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat untuk disaring sekiranya menghadiri atau mempunyai kontak rapat dengan mereka yang menghadiri perhimpunan tersebut," ujar beliau.