KOTA BHARU: Malaysia di ambang kejayaan dalam menangani penularan COVID-19 meskipun belum diisytiharkan menang, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun beliau menyeru rakyat di negara ini agar terus mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"Saya tahu rakyat sudah rasa gelisah tidak mahu pakai pelitup muka, malah penggunaan katil untuk pesakit COVID-19 ketika ini juga menurun kepada 40 peratus.

"Oleh itu, jika kita terus patuh SOP, sama-sama berjuang melawan COVID-19 dan menghargai jasa petugas barisan hadapan, kita boleh menang," katanya ketika berucap pada majlis Penyerahan Projek Klinik Kesihatan (Jenis 3), Penambang, Kota Bharu dan Klinik Kesihatan (Jenis 7) dengan Kuaters Bahagia, Kuala Krai di Klinik Kesihatan Penambang, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Mohd Shafiq Abdullah.

Khairy berkata hanya dua negeri lagi masih berada di Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) iaitu Kelantan dan Sarawak berbanding negeri lain yang telah beralih ke Fasa Empat.

Semalam, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan lima negeri iaitu Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah beralih daripada Fasa Tiga ke Fasa Empat PPN berkuat kuasa 8 Nov ini selepas mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksana oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

-- BERNAMA