Malaysia menggesa kerajaan Myanmar supaya mengambil tindakan segera atas keganasan di negara itu dengan membawa pihak yang terbabit ke muka pengadilan.

Beliau bagaimanapun meminta, proses pengadilan itu dibuat secara adil dan telus.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan daripada Sekretariat Kebangsaan Malaysia-Asean, turut menyatakan kebimbangan Malaysia terhadap isu keganasan antara kaum yang sedang berlaku di Myanmar.

Katanya keganasan itu boleh memberi kesan kepada negara-negara jiran, termasuk Malaysia.

Kenyataan tersebut disuarakan beliau dalam mesyuarat dua hala dengan Menteri Luar Myanmar Wunna Maung Lwin di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean ke-46 (AMM) di Bandar Seri Begawan, Brunei yang bermula semalam.

Sementara itu, Anifah turut memohon persetujuan kerajaan Myanmar untuk membenarkan Kumpulan Hubungan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) melawat Myanmar serta memberikan kerjasama penuh membolehkan kumpulan berkenaan melaksanakan mandat mereka.

Keganasan agama mula meletus di barat Rakhine tahun lalu, apabila beratus-ratus orang maut dalam pertempuran antara penduduk Buddha dan Islam di situ.

Keadaan itu menyebabkan kira-kira 140,000 terutama minoriti Islam terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.