Malaysia tetap dengan pendirian melarang jemaah haji dari negara ini daripada melawat ladang ternakan unta selagi virus Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MERS-CoV) tidak dikawal sepenuhnya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan jemaah haji yang akan berlepas ke Tanah Suci bermula 16 Ogos ini agar mematuhi arahan dan nasihat daripada petugas haji bagi mengelak kejadian buruk berlaku.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, larangan itu dikekalkan agar jemaah tidak terdedah kepada risiko jangkitan MERS-CoV walaupun ia masih terkawal.

Walaupun tahun sebelum ini larangan itu tidak timbul, namun apabila ladang ternakan unta dipercayai boleh menjadi penyebab kepada jangkitan virus itu, Malaysia mengambil langkah segera bagi mengekang jangkitan virus maut tersebut.

Seramai 22,230 jemaah haji Malaysia akan berlepas ke Arab Saudi mulai 16 Ogos ini dengan penerbangan akhir pada 16 September manakala perjalanan pulang bermula pada 29 September hingga 27 Oktober.

"Tidak ada pembatalan. (Arahan itu) kekal sebagaimana biasa juga supaya jemaah haji kita tidak terlibat dengan MERS-CoV, kerana tempat-tempat seperti ladang ternakan merupakan tempat pembiakan (virus tersebut)," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan ribut kepada 189 penduduk di Dewan KEDA Kampung Berjaya, Jeniang.


Sementara itu, Jamil Khir berkata, Tabung Haji kini masih berharap mendapat tambahan kuota daripada kerajaan Arab Saudi bagi membolehkan lebih ramai jemaah haji Malaysia dapat menunaikan haji.

Kerajaan, katanya akan terus merayu agar permintaan Malaysia di pertimbangkan.

"Buat masa sekarang, kita sudah bersiap sedia untuk 16 Ogos iaitu kapal terbang yang pertama untuk tujuan haji. Kita masih lagi menunggu permohonan tambahan kuota haji sebab sekarang ini kita belum lagi dapat maklumat tentang perkembangan tersebut.

"Saya tahu ramai orang yang buat rayuan untuk pergi dan Tabung Haji sudah mempertimbangkan dengan sebaik mungkin. Persiapan sudah selesai di peringkat kita (Tabung Haji) cuma menunggu tarikh penerbangan saja lagi," ujar beliau.