Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu menggariskan tiga prinsip penting yang mesti diamal dan dipatuhi setiap rakyat di negara ini untuk memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman, stabil dan harmoni serta menjadi model keharmonian dunia.

Tiga prinsip itu ialah mengamalkan kesederhanaan, hormat menghormati antara satu sama lain dan pentingnya bersikap adil, katanya ketika berucap selepas menyertai 'Harmony Walk' sempena Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia.

Jelas Najib, rakyat mesti mengamalkan kesederhanaan dalam semua bentuk tindakan, keputusan, sikap dan kata-kata serta menolak segala fahaman melampau, fanatik atau keganasan kerana ini hanya akan mencetus masalah.

"Saya selalu sebut bahawa masalah antara agama bukan disebabkan oleh agama itu sendiri, sebaliknya oleh fahaman melampau, fanatik dan memilih jalan keganasan.

"Kalau mereka memilih kesederhanaan, percaya kepada dialog, rundingan, menolak estremis. saya percaya dunia akan lebih aman dan harmoni," katanya.

Acara hari ini menyaksikan Najib meluangkan hampir dua jam berjalan kaki melawat lima rumah ibadah di sekitar Brickfields iaitu Gereja Tamil Methodist, Tokong Sam Kow Tong, Madrasathul Gouthiyyah, Kuil Sri Sakhti Vinayagar dan Kuil Buddha Maha Vihara.

Perdana menteri yang menyampaikan sumbangan RM30,000 kepada setiap rumah ibadah, menunaikan solat Asar berjemaah di Madrasathul Gouthiyyah.

Dalam ucapannya, Najib berkata walaupun Islam agama rasmi persekutuan, agama lain bebas untuk dianuti dan diamal, dan ini merupakan satu pendekatan penuh kebijaksanaan yang diambil demi menjamin kehidupan yang rukun, aman dan harmoni.

"Sebab itu kita mesti kekalkan tradisi dan legasi ini, jangan tergelincir daripada landasan, jangan pilih jalan yang ekstrim atau mainkan perasaan dan emosi untuk apa-apa tujuan," tegasnya.

Menjadikan konflik Palestin-Israel sebagai contoh, beliau berkata ia bukan tercetus akibat agama, sebaliknya disebabkan tindakan dan pendirian ekstrim serta ketiadaan sebarang langkah untuk perdamaian melalui pertimbangan yang sederhana.

"Kalau kita rampas tanah hak milik orang tidak kira apa agama, tentu orang itu akan bertindak balas. Begitu juga punca masalah di kawasan itu (Palestin), hak rakyat Palestin untuk hidup dalam sebuah negara yang bebas dan berdaulat dinafikan.

"Jika hak dinafikan, tentu sekali kawasan itu tidak akan aman dan harmoni. Inilah pengajaran kepada kita," kata Najib.

Mengulas prinsip kedua iaitu sikap hormat menghormati, Najib berkata ini perlu diamal oleh penganut agama kerana menyakiti penganut agama atau kepercayaan lain tidak akan menjurus kepada sebarang kebaikan.

Menurutnya, tindakan segelintir pihak yang 'bermain politik' serta tidak menjaga sensitiviti orang Islam semata-mata untuk meraih sokongan terutama menjelang pilihan raya, membuktikan mereka bukan pemimpin yang bertanggungjawab.

"Dalam agama Islam, Nabi Muhammad SAW telah ajar kita untuk hormati mereka yang beragama lain dan kalau agama lain hormati agama Islam, tidak ada masalah akan wujud dalam negara," katanya.

Menyentuh prinsip ketiga, beliau berkata setiap rakyat mesti bersikap adil dalam membuat pertimbangan.

"BN (Barisan Nasional) akan terus mendukung dan pertahankan ketiga-tiga prinsip ini, percayalah ini janji kita kepada rakyat...janji kita janji ditepati," kata Najib.

Mengenai kunjungannya ke Brickfields, Najib berkata ia sarat dengan mesej keharmonian apabila beliau turut disertai pelbagai penganut agama.

Menurutnya, Brickfields merupakan mikrokosma masyarakat majmuk di Malaysia kerana ia didiami penduduk berbilang kaum dan agama selain menjadi lokasi pelbagai rumah ibadah.

"Brickfields ini adalah antara lokasi paling unik di Malaysia kerana dalam lingkungan dua hingga tiga kilometer, terdapat pelbagai tempat ibadah yang mewakili agama besar dunia dengan pengikut dan penganut masing-masing," katanya.