KUALA LUMPUR: Malaysia menyatakan hasrat untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Hong Kong selaras dengan komitmen negara untuk memulihkan ekonomi pasca pandemik COVID-19, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga merupakan Menteri Perladangan dan Komoditi hari ini menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Kewangan Hong Kong, Paul Chan Mo-Po di Bilik Kunjungan Hormat, di Parlimen.

Pertemuan tersebut merupakan perjumpaan peringkat tertinggi yang pertama antara Malaysia dan Hong Kong dalam tempoh tiga tahun.

"Dalam pertemuan itu saya telah menyentuh mengenai kepentingan memperkukuhkan hubungan dua hala dan membuka peluang baharu kepada sektor lain yang berpontensi tinggi seperti perkhidmatan,agrikomoditi, pelancongan dan kebudayaan, pendidikan, perkhidmatan, dan ekonomi digital," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fadillah berkata seiring dengan peralihan pusat ekonomi ke rantau Asia, Hong Kong merupakan antara rakan dagang terpenting bagi Malaysia dan menjadi destinasi eksport kelima terbesar negara.

Nilai perdagangan antara Malaysia dengan Hong Kong juga mencatatkan peningkatan sebanyak20 peratus kepada US$25.69 bilion pada 2022 berbanding US$21.68 billion pada 2021.

"Paul Chan Mo-Po turut menjemput saya untuk mengadakan lawatan rasmi ke Hong Kong dan melawat hub ekonomi terbaharu iaitu the Greater Bay Area (GBA) yang menghubungkan wilayah Guangzhou-Hong Kong-Macao," katanya.

GBA merupakan kawasan yang berpotensi besar bagi pelaburan khususnya dalam sektor teknologi tinggi.

-- BERNAMA