KUALA LUMPUR: Peningkatan kes COVID-19 serta pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan penuh (PKP 3.0) mulai 1 Jun lalu memberi kesan kepada usaha pemulihan ekonomi negara.

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan ketika ini sedang menilai kembali impak PKP 3.0 terhadap ekonomi Malaysia.

Pada masa sama, kerajaan juga sedang melaksanakan langkah susulan bagi memulihkan semula prestasi negara.

“Jika usaha kerajaan, termasuk  pemberian vaksinasi dan pelaksanaan PKP, disokong pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, Malaysia mampu mencatat pemulihan memberangsangkan pada suku ke-4 tahun ini.

“Melihat ke hadapan, Unit Perancang Ekonomi akan terus bekerjasama dengan hab pertumbuhan dan kewangan yang mampan oleh Kumpulan Bank Dunia di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena pelancaran secara maya laporan 'The Malaysia Economic Monitor' edisi Jun 2021 (MEM 2021) bertajuk 'Weathering The Surge' yang dikeluarkan Bank Dunia pagi ini. 

Mustapa berkata, kerajaan mengambil maklum jangkaan pertumbuhan dalam negara kasar (KDNK) oleh Bank Dunia yang menyemak semula unjuran kepada 4.5 peratus untuk tahun ini.

Ia lebih rendah berbanding jangkaan kerajaan iaitu antara 6 dan 7.5 peratus. 

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, ekonomi negara sebelum ini berada pada landasan tepat bagi pemulihan ekonomi sebelum Mei tahun ini.

Ia disumbangkan peningkatan prestasi kadar KDNK sebenar 0.5 peratus pada suku pertama dan pemulihan kukuh berdasarkan beberapa petunjuk ekonomi.

Bagaimanapun, jelasnya, proses pemulihan itu terjejas ekoran peningkatan kes COVID-19 serta pelaksanaan PKP 3.0.

“Ketika fokus laporan (MEM 2021) hari ini tertumpu kepada impak segera pandemik, penting untuk kita fahami trajektori jangka sederhana dan panjang, bagi memastikan pertumbuhan Malaysia berlandaskan produktiviti dan inovasi.

“Sehubungan itu, Malaysia komited meneruskan proses rundingan antara sektor awam dan swasta, bagi membolehkan kerajaan merangka polisi, mempromosi kefahaman mengenai impak COVID-19 terhadap ekonomi, serta keadaan selepas pemulihan COVID-19, dengan lebih baik,” katanya lagi.