Malaysia masih mencatatkan peningkatan dua digit bagi kes baharu COVID-19 dengan 21 kes dilaporkan setakat 12 tengah hari Isnin menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara ini adlaah 8,800 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham, daripada 21 kes baharu yang dilaporkan, 15 adalah kes penularan dalam negara.

13 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia dan dua adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia.

Berikut adalah perincian kes dalam kalangan warganegara Malaysia;

- Johor: 12 kes daripada Kluster Rumah Warga Emas Kluang.
- Negeri Sembilan: satu (1) kes saringan pra pembedahan di sebuah pusat perubatan. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Manakala bagi kes jangkitan di kalangan bukan warganegara adalah;

- Johor: dua kes, satu kes saringan pra-pembedahan dan satu lagi kes daripada Kluster Rumah Warga Emas Kluang.

Sementara itu, enam kes baharu yang dilaporkan adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan empat warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja.

Berikut adalah perinciannya;

- Filipina: tiga kes
- India: satu kes
- Rusia: satu kes
- Denmark: satu kes

Sehingga kini tiga kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Pada masa sama, dua kes telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes telah pulih adalan 8,555 kes (97.2 peratus).

Tiada pertambahan kematian dilaporkan hari ini, jumlah kematian kekal 123 kes.