BANGI: Malaysia masih menunggu keputusan kerajaan Arab Saudi berhubung rayuan negara ini untuk diberi kuota tambahan 5,000 jemaah bagi menunaikan haji musim 2022, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

"Setakat ini belum ada jawapan lagi. Kita doalah moga Allah permudahkan," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Korporat Malaysia dan Wakil Tetap Sekretariat Dakwah Korporat (SDK) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), di sini hari ini.

Pada 16 Mei lepas, Idris dilapor berkata pihaknya telah mengemukakan rayuan itu semasa menghadiri Persidangan Majlis Komuniti Islam Sedunia di Abu Dhabi.

Arab Saudi menetapkan kuota haji seramai satu juta jemaah bagi musim 2022 dengan 85 peratus diperuntukkan kepada jemaah luar negara dan Malaysia pada musim ini diberi kuota 14,306 iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima dan peratusan sama terpakai kepada semua negara.

Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Makkah dijadualkan pada 31 Mei ini.

Ditanya mengenai surat tawaran bagi kumpulan kedua jemaah haji musim 2022, Idris berkata Lembaga Tabung Haji sudah mengeluarkan surat tawaran itu pada 10 Mei lepas dan mereka yang menerima surat itu diberi masa 10 hari untuk memberikan jawapan.

Beliau berkata setakat ini, pihaknya tidak mendapat maklumat berapa ramai yang sudah memberikan jawapan untuk menerima tawaran haji itu.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata sehingga hari ini, JAKIM belum dihubungi individu bukan rakyat Malaysia yang mendedahkan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) keselamatan makanan, kebersihan dan piawaian halal di sebuah loji penyembelihan di Australia.

"Siasatan sedang berjalan, kita sedang mencari banyak lagi bukti. Kalau ada maklumat loji lain silakan, dan kita akan ambil tindakan," katanya.

Sementara itu, semasa berucap pada majlis hari ini, Idris berkata pendekatan dakwah pada masa kini mestilah ringkas, padat, berfakta dan interaktif, seiring dengan peredaran zaman.

Katanya, badan-badan dakwah mesti mengadaptasi suasana semasa termasuk dalam kerja-kerja dakwah manakala uslub (cara) dakwah mesti sentiasa segar, interaktif dan relevan kerana adakalanya pendekatan lima tahun lepas sudah tidak relevan dengan konteks dakwah hari ini.

-- BERNAMA