PUTRAJAYA: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya insiden letupan bom kereta di wilayah tenggara Diyarbakir, Turkiye, berhampiran sempadan Syria hari ini yang mencederakan lapan pegawai polis dan seorang orang awam.

Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra), Malaysia menggesa supaya pelaku perbuatan kejam itu segera dibawa ke muka pengadilan.

"Setakat ini, tiada laporan diterima mengenai rakyat Malaysia yang terlibat dalam kejadian itu.

"Kedutaan Malaysia di Ankara dan Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul memantau rapat perkembangan itu dan sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

"Malaysia merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam insiden ini serta kepada Kerajaan dan rakyat Turkiye," menurut kenyataan itu.

Semua rakyat Malaysia di Turkiye khususnya di Diyarbakir diminta mengikuti perkembangan terkini, mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mematuhi nasihat perjalanan daripada pihak berkuasa tempatan.

Warga Malaysia yang menetap di Turkiye juga diminta mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di Ankara atau Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul.

Untuk bantuan, Kedutaan Malaysia di Ankara boleh dihubungi melalui nombor telefon +(90) 312 4463547/48 atau +(90) 534 4571006 (selepas waktu pejabat) dan e-mel, [email protected].

Sementara itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul boleh dihubungi di talian +(90) 212 9891001/09 atau +(90) 551 7112174 (selepas waktu pejabat) dan e-mel, [email protected].

Sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan meletup sebaik bas yang membawa anggota polis melaluinya, menurut Agensi Anadolu.

Belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab ke atas insiden itu, lapor media tempatan.

-- BERNAMA