Malaysia perlu bersedia pasca Mahathir dan Anwar - Khairy

Irwan Muhammad Zain
September 26, 2018 20:37 MYT
KHAIRY: Anwar perlu menjadi Perdana Menteri kerana jika tidak, ia tidak akan ada kesudahan, Malaysia tidak akan bergerak ke depan. - Gambar fail
Generasi masa kini perlu membuat persiapan apa yang akan berlaku terhadap negara selepas era Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.
Bekas menteri belia dan sukan itu berkata persediaan masa depan Malaysia pasca kedua-dua pemimpin terbabit amat penting kerana ia akan menentukan hala tuju negara.
“Kita perlu fokus terhadap Malaysia pasca Dr Mahathir, pasca Anwar. Kita perlu fokus terhadap peralihan generasi selepas itu.
“Dr Mahathir seorang pemimpin yang hebat tetapi beliau kini berusia 93 tahun dan Anwar perlu menjadi Perdana Menteri kerana jika tidak, ia tidak akan ada kesudahan, Malaysia tidak akan bergerak ke depan.
"Sebab itu saya mahu beliau (Anwar) menjadi perdana menteri, kita tidak boleh bergerak ke depan. Beliau perlu menjadi perdana menteri, jika tidak kita tak akan bergerak ke depan,” katanya sinis.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sepetang bersama Prof Jomo Kwame Sundaram dan Khairy Jamaluddin: Masa Depan Malaysia anjuran Persatuan Oxford dan Cambridge Malaysia di sini, malam tadi.
Mengulas isu reformasi institusi, bekas ketua pemuda UMNO itu berkata pemimpin dari mana-mana parti politik perlu bekerjasama dan mengetepikan politik remeh untuk memastikan perkara tersebut berjalan lancar.
“Selepas Anwar menjadi Perdana Menteri, peralihan generasi akan menjadi lebih jelas kerana ramai pemimpin muda berpakat bukan saja dalam Pakatan Harapan (PH), malah dalam Barisan Nasional (BN) juga,” katanya lagi.
Sementara itu, Àhli Majlis Penasihat Kerajaan, Prof Jomo Kwame Sundaram, berkata sistem politik Malaysia memerlukan perubahan untuk berdepan cabaran pada masa depan.
“Sistem politik yang ada sekarang perlu berubah terutama dari segi pembiayaan dana politik di mana ia perlu dilakukan dengan lebih telus.
“Sistem politik hari ini dicemari dengan pelbagai perkara yang tidak baik sehingga kita tidak mampu keluar dari kepompong sistem itu melainkan kita mempunyai sistem politik alternatif lain,” katanya.
#Anwar Ibrahim #Barisan Nasional #dana #Jomo Kwame Sundaram #Khairy Jamaluddin #Mahathir Mohamad #Malaysia #Pakatan Harapan #parti politik #pembiayaan #pemimpin #peralihan generasi #Perdana Menteri #persiapan #politik remeh #reformasi institusi #sistem #UMNO