KUALA LUMPUR: Malaysia perlu melihat semula dasar dan polisi berhubung layanan terhadap pelarian di negara ini, kata Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Tom Andrews.

Bekas Senator Amerika Syarikat itu berkata, terlalu banyak kisah pelarian Rohingya tentang bagaimana mereka diberi layanan buruk, termasuk oleh pihak berkuasa, sewaktu berlindung di negara ini.

Tegasnya lagi, semua pihak harus menyedari bahawa kehadiran pelarian Rohingya di negara ini bukan atas kehendak mereka, tetapi kerana terpaksa bagi melepaskan diri dari kesengsaraan akibat tindakan pemerintahan junta tentera di Myanmar.


“Sebagai contoh, saya mendengar kisah mereka diberi layanan yang tidak berpatutan, wang mereka diambil, dan ada antara mereka yang dipukul oleh anggota polis. Dan sudah tentu kita juga mendengar kisah mereka sewaktu di pusat tahanan.

“Saya rasa penting untuk mengkaji semula amalan seperti ini, lihat semula dasar atau mana-mana amalan yang memburukkan lagi penderitaan rakyat Myanmar di negara ini,” katanya lagi.

Andrews berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan dapatannya berhubung situasi semasa hak asasi penduduk di Myanmar, serta pengiktirafan terhadap ketegasan Malaysia di peringkat ASEAN.

Dalam pada itu Andrews berkata, kehadiran beliau di sini adalah atas jemputan Kementerian Luar, dan sewaktu di Malaysia, beliau telah bertemu dengan ramai pihak termasuk pihak Wisma Putra, badan-badan bukan kerajaan, aktivis, dan juga pelarian Rohingya.

Katanya lagi, Malaysia merupakan negara ASEAN yang pertama yang menjemput beliau selaku pelapor khas PBB untuk berkongsi pandangan mengenai hak asasi rakyat di Myanmar.

Namun, Andrews berkata, beliau masih gagal untuk bertemu dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk membincangkan mengenai dasar dan polisi layanan yang tidak begitu memberangsangkan terhadap pelarian tersebut.

Dalam pada itu beliau berkata, pendirian kerajaan Malaysia dan Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah untuk ASEAN lebih tegas terhadap Myanmar, amat dialu-alukan.

“Malaysia bukan sahaja memahami keadaan ini, malah Menteri Saifuddin turut menggesa ASEAN untuk melihat semula pendirian dan dasar semasa mereka terhadap Myanmar. Menteri Saifuddin telah memanggil ASEAN untuk mengubah pendirian dari ‘non-interference’ kepada ‘non-indifference'.

“Kita semua sedia maklum mengenai lima perkara konsensus ASEAN. Dan Malaysia telah menyuarakan fakta bahawa selepas setahun, tiada apa yang berlaku, tetapi lebih ramai rakyat terbunuh dan dipaksa meninggalkan negara tersebut,” katanya lagi.

Atas sebab itu, Andrews berkata, kepimpinan Malaysia perlu diteladani, dan beliau berasa gembira kerana dapat hadir ke negara ini.

Katanya lagi, beliau sedia untuk menyokong dasar luar Kerajaan Malaysia berhubung isu Myanmar, untuk mengukuhkan pendirian tentang hak asasi, dan mengurangkan penderitaan yang dialami oleh rakyat Myanmar ketika ini.