PUTRAJAYA: Negara memerlukan seramai 44,804 penolong pegawai perubatan (PPP) menjelang 2025 dengan mengambil kira jangkaan 36 juta penduduk Malaysia pada tahun tersebut, kata Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni.

Berucap merasmikan Hari Pembantu Perubatan ke-12 2023 peringkat kebangsaan di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini pada Jumaat, beliau berkata bilangan PPP dalam negara ketika ini adalah seramai 23,329 orang dengan nisbah 1:1,400 berbanding populasi penduduk.

"Kekurangan PPP menyebabkan peningkatan beban kerja, PPP sedia ada bekerja lebih masa dan secara tidak langsung ia boleh menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan," katanya.

Lukanisman berkata perbincangan antara Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan sentiasa diadakan untuk memastikan isu perjawatan tetap dapat diselesaikan dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Dalam pada itu, beliau berkata bilangan PPP atau pembantu perubatan yang memiliki ijazah masih kecil iaitu kurang daripada 10 peratus dan sasaran KKM adalah 75 peratus daripada mereka memiliki ijazah menjelang 2030.

Menurut Lukanisman, beberapa sesi libat urus telah diadakan antara cawangan perkhidmatan PPP dan Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia dengan beberapa universiti awam dan swasta untuk membuka peluang pendidikan program ijazah kepada mereka.

Ketika ini, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sultan Zainal Abidin dan Universiti Terbuka Malaysia menjalankan program khusus di peringkat ijazah bagi PPP.

Lukanisman turut berkata Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi persidangan 'The Global Association of Clinical Officers and Physician Associates' di Putrajaya Jun depan.

-- BERNAMA