PUTRAJAYA: Malaysia merangkul dua anugerah pada Majlis Anugerah Pencapaian Perjanjian Kerjasama Serantau (RCA) dalam bidang sains dan teknologi nuklear di Vienna, Austria pada Isnin.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Agensi Nuklear Malaysia telah menerima Anugerah Kerjasama Serantau RCA kategori institusi berikutan penglibatan aktif melibatkan kerjasama dalam 141 projek RCA, menganjurkan lebih 68 aktiviti RCA yang memberi manfaat kepada lebih 1,200 personel serta menyediakan 41 pakar teknikal kepada RCA.

"Sebagai penyelaras utama bagi beberapa projek RCA sejak 2000, Agensi Nuklear Malaysia telah menyumbang kepada kemajuan sains dan teknologi nuklear di rantau ini dengan menyediakan perkhidmatan perundingan dan analisis bahan dan sumber," menurut MOSTI.

Satu lagi anugerah iaitu Anugerah Projek RCA bagi kategori individu diterima oleh pegawai penyelidik kanan di Agensi Nuklear Malaysia Dr Ilham Mukhriz Zainal Abidin, yang terlibat secara aktif dengan projek RCA dalam bidang teknik ujian tanpa musnah (NDT) sejak 2012 dan menyumbang kepada promosi aplikasi NDT untuk struktur kejuruteraan awam dan perindustrian.

Majlis Anugerah Pencapaian RCA diadakan sempena ulang tahun ke-50 RCA bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada semua negara anggota, organisasi dan individu atas penyertaan aktif, pencapaian serta komitmen yang kukuh dalam semua program RCA.

RCA merupakan perjanjian kerjasama bagi penyelidikan, pembangunan dan latihan dalam bidang sains dan teknologi nuklear sejak 1972 di bawah naungan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

RCA terdiri daripada 22 negara anggota dan Malaysia telah menjadi negara anggota RCA sejak 1975 melalui Agensi Nuklear Malaysia di bawah MOSTI.

-- BERNAMA