Malaysia bersedia untuk membuat pembotolan vaksin COVID-19 sebaik sahaja vaksin itu ditemui, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, dua buah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), iaitu Duopharma Berhad dan Pharmaniaga Berhad telah menyatakan persetujuan untuk kilang mereka digunakan untuk proses fill and finish vaksin berkenaan.

Katanya, berdasarkan kajian daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kesihatan Malaysia (KKM), mendapati antara halangan besar untuk Malaysia mendapatkan vaksin COVID-19 selain ujian klinikal, adalah proses pembotolan vaksin.

"Tetapi bila vaksin itu telah dibuat, proses untuk pembotolan itu ada di Malaysia. Jadi senanglah.

"Saya juga telah melawat dua buah kilang itu dan hari ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan persetujuan kilang-kilang itu digunakan sebagai lokasi fill and finish sebaik sahaja vaksin COVID-19 ditemui," katanya pada sidang akhbar di pusat media, Parlimen di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, Malaysia bercadang untuk membeli secara pukal vaksin terbabit daripada pembekal luar negara.

"Setakat ini, KKM dan MOSTI masih belum membuat sebarang keputusan mengenai pembekal dari negara mana, ia bergantung kepada negara mana yang tampil dengan vaksin itu dengan cepat," ujarnya.

Menjelaskannya, pembotolan di luar negara mungkin akan mengambil masa yang lama dan kos tinggi berbanding menjalankan proses itu di sini dengan pelaburan yang rendah.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan kos pembotolan itu.

Khairy juga memaklumkan yang Malaysia bersedia untuk menawarkan perkhidmatan itu kepada negara luar sekiranya mereka memerlukannya.

Dalam pada itu, untuk jangka masa panjang, beliau menjelaskan, Malaysia juga akan membangunkan vaksin manusia bagi mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada beberapa negara pengeluar seperti yang dilakukan kini.

Katanya, menerusi Mesyuarat Majlis Sains Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, mesyuarat telah membuat ketetapan agar Malaysia turut tampil menjadi negara pengeluar vaksin.

"Kini Malaysia hanya mengeluarkan vaksin haiwan namun bergantung sepenuhnya kepada negara luar untuk mendapatkan vaksin manusia.

"MOSTI dan KKM diberi tanggungjawab untuk menyediakan pelan pembangunan untuk pembangunan dan kemandirian vaksin negara dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh enam bulan akan datang.

"Vaksin yang akan dibangunkan itu kelak bukan hanya memberikan tumpuan kepada COVID-19 dan Malaysia perlu membangunkan keselamatan dan kemandirian bagi memastikan persediaan sekiranya berlaku pandemik dan jangkitan baharu," ujarnya lagi.