PUTRAJAYA: Malaysia pada Isnin menyumbang 250,000 unit pelitup muka kepada Iraq, menurut Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan.

Sumbangan itu memperlihatkan usaha berterusan kerajaan Malaysia untuk bekerjasama dengan Iraq dan masyarakat antarabangsa dalam memerangi pandemik COVID-19.

Bantuan yang diserahkan melalui kedutaan Iraq di Kuala Lumpur itu dibiayai oleh Akaun Amanah Pembelaan Rakyat Iraq (AAKPRI), yang ditubuhkan pada 2003 di bawah kementerian.

"Sumbangan Malaysia kepada Republik Iraq mencerminkan hubungan mesra dan erat yang terjalin antara kedua-dua negara ketika pandemik sedang melanda.

"Malaysia kekal komited untuk terus bekerjasama dengan Iraq demi kepentingan bersama kedua-dua negara," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA