Malaysia mencadangkan kepada Indonesia agar mempunyai undang-undang antikeganasan sama seperti Malaysia sebagai langkah mencegah kegiatan keganasan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, cadangan itu pernah disuarakan oleh beliau secara peribadi kepada Presiden Republik Indonesia Joko Widodo semasa perjumpaan antara mereka tidak lama dahulu.

"Saya cadangkan kepada Jokowi (Joko Widodo) bahawa harus ada undang-undang yang hampir sama dengan Malaysia supaya kita boleh mencegah sesuatu sebelum ia berlaku.

Pencegahan bermula daripada perundangan, risikan pihak polis dan tindakan dalam bentuk perundangan itu mesti ada proses yang ditentukan oleh Mahkamah, jadi tidak boleh berlaku salah guna kuasa," katanya dalam satu wawancara khas oleh siaran televisyen I-News di sini malam ini.

Katanya, undang-undang seumpama itu adalah antara faktor kejayaan Malaysia dalam mencegah aktiviti keganasan di peringkat awal dan tidak berlakunya kes-kes serangan letupan oleh pihak pengganas.

Beliau berkata, menerusi undang-undang itu juga setakat ini sebanyak 140 orang yang dipercayai terbabit dengan aktiviti pengganas telah ditahan dan dikenakan tindakan.

Perdana Menteri berkata, daripada 140 orang yang ditahan itu, tiada yang mempunyai hubungan langsung dengan jaringan pengganas tetapi mereka didapati terpengaruh dengan aktiviti pengganas di Timur Tengah.

Malaysia mempunyai undang-undang yang dikenali sebagai Akta Pencegahan Keganasan (POTA) yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk menahan mana-mana individu yang dipercayai terbabit dengan kegiatan pengganas.