KUALA LUMPUR: Malaysia dan Thailand bersetuju memperkukuh perkongsian maklumat dan risikan dalam kalangan agensi sebagai usaha mencegah ancaman keselamatan bukan tradisional di kedua-dua sempadan negara.

Persetujuan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) ke-55 yang diadakan di ibu negara pada Khamis.

Dalam kenyataan bersama, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Timbalan Perdana Menteri Thailand, Prawit Wongsuwon memaklumkan, kedua-dua negara juga akan meningkatkan keberkesanan operasi di sepanjang sempadan dalam membendung ancaman keselamatan dan penularan COVID-19.

"Selain itu, Malaysia dan Thailand akan memudahkan aktiviti melintasi sempadan secara sah untuk pertumbuhan ekonomi dan mengukuhkan komuniti kawasan sempadan.

"Bagi mewujudkan komunikasi, kedua-dua negara turut bersetuju melantik Pegawai Perhubungan (LO) untuk kesediaan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) di sepanjang sempadan," demikian menurut kenyataan tersebut pada Khamis.

Kenyataan bersama itu menambah, Malaysia dan Thailand dijangka menganjurkan Jawatankuasa Latihan Gabungan Bersama (JCEC) ke-4 pada 2024, dengan menjemput anggota ASEAN dan negara-negara bersekutu sebagai pemerhati dan peserta.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Hishammuddin memaklumkan kerajaan Malaysia dan Thailand bersetuju menubuhkan dua Pos Sempadan Berselaras (CBP) baharu yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun ini, bagi memerangi jenayah rentas negara dan aktiviti penyeludupan.

Dalam masa yang sama, beliau berkata Malaysia mencadangkan untuk meningkatkan kerjasama pertahanan dalam Peronda Selat Melaka (MSP) kepada Mesyuarat Menteri-Menteri Kuartet dengan penyertaan Menteri-Menteri Pertahanan dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Terdahulu, Prawit tiba di Malaysia bagi memulakan lawatan kerja rasmi sulung selepas pandemik COVID-19

Mesyuarat GBC ke-56 dijangka diadakan pada 2023, dan dihoskan oleh Kerajaan Thailand.