Malaysia-Thailand setuju percepatkan pembinaan dua jambatan persahabatan

Bernama
Januari 24, 2019 12:58 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Thailand Jen Prayut Chan-o-cha (kanan) di Government House, pada Khamis. - Foto BERNAMA
Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal bersama bagi membincangkan dengan lebih terperinci cadangan pembinaan Jambatan Persahabatan antara Malaysia dan Thailand akan diadakan di Kuala Lumpur pada Mac ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Thailand berkata kedua-dua negara bersetuju untuk mempercepatkan proses pembinaan jambatan yang akan menghubungkan Kelantan dengan Narathiwat; iaitu Jambatan Tak Bai-Pengkalan Kubor dan Sungai Golok-Rantau Panjang.
Menurut Dr Wan Azizah, kedua-dua negara juga komited dalam merealisasikan pembinaan JambatanPersahabatan dan menjangkakan majlis pecah tanah untuk pembinaan kedua-dua jambatan dapatdilakukan perdana menteri kedua-dua negara pada tahun ini.
Katanya isu pembinaan Jambatan Persahabatan dibangkitkan oleh Perdana Menteri Thailand Jen Prayut Chan-o-cha semasa beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas perdana menteri itu di Government House, petang ini.
"Saya fikir reka bentuk ada disentuh dalam perbincangan, dan akan disusuli dengan aspek teknikal. Saya berpendapat jawatankuasa teknikal tertinggi di kedua-dua pihak akan berbincang bagaimana untuk melaksanakannya. Saya tidak dimaklumkan tentang tempoh masa, ia akan mengambil masa yang agak lama. Pihak Thai juga ada beberapa isu yang perlu kita tangani," katanya pada sidang media bersama media Malaysia di sini, hari ini.
Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diiringi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub dan Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya. Turut serta pada sidang media itu Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel.
Lawatan tersebut adalah yang pertama sejak Dr Wan Azizah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 21 Mei lepas.
Dr Wan Azizah berkata perbincangan bersama rakan sejawatannya itu sangat produktif dengan pelbagai perkara yang menyentuh kepentingan bersama telah dibincangkan.
"Kedua-dua pihak bersepakat bahawa hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand semakin erat dan kukuh. Bertitik-tolak daripada keinginan tersebut, saya dan pemimpin-pemimpin Thailand telah berbincang dan bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan terkini kerjasama dua hala yang ada antara Malaysia dan Thailand, dan saling berkongsi pendapat mengenai hala tuju dalam memperkukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia dan Thailand.
"Saya juga menegaskan bahawa Malaysia memberi tumpuan dan perhatian yang amat serius terhadap usaha meningkatkan hubungan dengan Thailand. Lawatan-lawatan peringkat tertinggi, serta juga usaha-usaha kerjasama baharu yang dipelopori adalah bukti yang nyata terhadap keinginan ini. Kita hendaklah memastikan bahawa era ini merupakan 'the Golden Era of Malaysia-Thailand relations'," katanya.
#Jambatan Persahabatan #Jambatan Tak Bai #jawatankuasa teknikal #Kelantan #lawatan rasmi #Malaysia #Narathiwat #Perdana Menteri Thailand #Prayut Chan-O-Cha #Thailand #Timbalan Perdana Menteri #Wan Azizah Wan Ismail