BANGI: Malaysia tidak harus terkenal sebagai negara yang mana pemimpinnya itu rasuah belaka.

Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disebabkan itu beliau menanam tekad untuk memerangi rasuah habis-habisan, yang dilabelnya sebagai sudah sistemik di Malaysia.

Begitupun, katanya, usaha itu bukan mudah kerana kelompok besar rasuah itu akan berkumpul, berpakat dan menyerang kerajaan bertubi-tubi hanya kerana prinsip menentang rasuah.

“Isu besar dalam negara ini, wang negara ini dipunggah untuk orang-orang tertentu. Bukan RM1 bilion, bukan RM2 bilion tapi berbilion.

“Yang pentingya ialah kesepakatan kita, komitmen kita, tinggalkan amalan jelik ini. Bagi saya, adakah kita boleh terima? Saya tidak terima.

“Anak-anak muda nak bersama…Alhamdulillah. Tak bersama pun saya tidak peduli kerana kita harus bangkit dan lawan gejala ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Cakna Madani Perdana Menteri bersama pelajar tajaan JPA di institusi pendidikan tinggi di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di Bangi pada Selasa.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalannya, Datuk Mohammad Yusof Apdal; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Dr Zulkapli Mohamed.

Tambahnya, hutang negara kini sudah mencecah RM1.5 trilion dengan RM300 bilion liabiliti dan kerana itu beliau amat menekankan tata kelola yang betul.

“Saya sudah hampir tujuh bulan jadi Perdana Menteri, Khaled jadi Menteri. Tiada satu pun tolak ansur kita. Ada kontrak, harus tender, tiada Jana Wibawa.

“Tebatan banjir, bukan kata tebatan banjir tapi ‘sebatan banjir’, tiada lagilah (tender terus). Kalau ada mendesak, tebatan banjir tak boleh tunggu, kita buat pemilihan tender.

“Kena ada penilaian. Begitu, baru kita boleh selamatkan wang negara dengan banyak,” ujarnya lagi.