Pengumuman Pas untuk meletakkan sekurang-kurangnya 11 calon bukan Islam bagi Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan baru-baru ini dilihat lebih ke arah cubaan memenangi kembali hati pengundi bukan Islam, kata Ketua Panel Penyelidik Universiti Malaya Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.

Bagaimanapun, katanya lagi, strategi itu lebih banyak menimbulkan persoalan demi persoalan, terutama sekali bagaimana 11 calon itu dapat memperjuangkan dasar perjuangan parti itu yang mahu menegakkan syiar Islam, sedangkan mereka sendiri bukan Islam.

Selain itu, kata Awang Azman, ialah sejauh mana penerimaan masyarakat Negeri Sembilan, terutamanya pengundi bukan Islam untuk menerima parti itu, apatah lagi isu Hudud ternyata tidak popular dalam kalangan mereka.

“Bagi saya bila PAS ini nak memberi ruang kepada calon bukan Islam, ia lebih untuk mempopularitikan Pas, dan menunjukkan seolah-olah ia bukan menolak bukan Islam,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

BACA: Jumlah calon bukan Islam perlu minoriti - Mohd Amar


Agensi berita Bernama baru-baru ini melaporkan Pesuruhjaya PAS negeri Mustaffa Daharun sebagai berkata, mereka akan bertanding bagi semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

“Kita juga akan meletakkan sekurang-kurangnya 11 calon bukan Islam, yang akan bertanding atas tiket Pas, di kawasan yang majoritinya terdiri daripada bukan Melayu seperti DUN Temiang dan Lobak,” katanya lagi.

Isu agama tetap menjadi antara pertimbangan penting oleh seseorang pengundi dalam memilih calon dalam pilihan raya.

Kajian Universiti Malaya yang membuat tinjauan terhadap pengundi di 12 kawasan parlimen di seluruh negara mendapati calon beragama menjadi antara pilihan utama pengundi selain calon yang bebas rasuah dan calon yang berkarismatik.