Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempertahankan haknya untuk memberikan sokongan kepada pihak yang dirasakan sesuai dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Namun Khalid secara jelas menegaskan beliau tidak akan memberikan sokongan kepada Menteri Besar Selangor sedia ada, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Ahli Dewan Udangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa.

Dalam kenyataan ringkas di laman Facebooknya, khalid menegaskan beliau tidak akan memberikan sokongan kepada Azmin yang didakwa akan merugikan rakyat selangor lebih RM2 bilion dalam isu penyusunan semula industri air Selangor.

"Siapa saya sokong adalah hak saya. Yang jelas, saya tidak sokong YB Gombak kerana dia akan merugikan rakyat Selangor lebih RM2 billion dalam isu penyusunan semula industri air Selangor," katanya.

Kenyataan Khalid itu susulan desakan Azmin yang mahu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu memutuskan pihak yang disokongnya untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Azmin sebelum ini mendakwa Khalid berpindah-pindah sokongan antara UMNO, Pas dan sebagai ahli bebas.

Khalid dipilih menjadi menteri besar Selangor selepas pakatan rakyat menawan negeri itu pada PRU 2008.

Namun beliau disingkirkan pada 2014 susulan perselisihan dalam partinya ketika itu, PKR.

Selepas disingkirkan daripada jawatan menteri besar, Khalid dilihat tampil dalam acara-acara UMNO dan Pas namun sehingga kini belum menyertai mana-mana parti.

Pas Selangor pula dilaporkan menawarkan Khalid kerusi Dun untuk PRU14 akan datang tanpa perlu menyertai parti itu.