KUALA LUMPUR:
Program Norma Baharu Penyampaian Perkhidmatan Awam (NBPPA) di bawah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) merupakan inisiatif membentuk kelancaran penyampaian perkhidmatan awam yang berorientasikan pendigitalan kerajaan ke rakyat (G2C) dan kerajaan ke perniagaan (G2B).

Pengarah Bahagian Perundingan Pengurusan 2 MAMPU Jabatan Perdana Menteri (JPM), Lornie Enggong berkata, program diterajui sejak mulanya pandemik COVID-19 itu dilaksanakan bagi memastikan rakyat mendapat akses perkhidmatan End-to-End (E2E) dan menyelesaikan setiap urusan tanpa perlu ke premis serta dilakukan secara dalam talian.

Kata Lornie, dua kategori perkhidmatan awam telah dilibatkan dalam program berkenaan melibatkan perkhidmatan E2E dan bukan E2E.

“Perkhidmatan E2E merujuk kepada perkhidmatan yang dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya. Perkhidmatan dari mula hingga akhir yang boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana-mana tanpa berurusan secara bersemuka seperti pembayaran cukai taksiran dan semakan serta pembayaran saman.

“Manakala, perkhidmatan bukan E2E pula meliputi perkhidmatan yang tidak memenuhi kriteria E2E iaitu perkhidmatan separa E2E, perkhidmatan e-kaunter dan perkhidmatan manual seperti pembaharuan lesen memandu dan cukai jalan termasuk tempahan janji temu pembaharuan pasport antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program AWANI Pagi: Norma Baharu Penyampaian Perkhidmatan Awam, pada Selasa.
 
AWANI Pagi: Norma baharu penyampaian perkhidmatan awam

Dalam pada itu, beliau berkata, program berkenaan telah dimulakan di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui Projek Rintis Sistem Penyampaian Kerajaan ke Arah Pengamalan Norma Baharu (NBPPA) Pasca COVID-19 pada November 2020 hingga Mei 2021 dan menyaksikan pencapaian yang positif.

“Sepanjang pelaksanaan projek rintis dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat masih boleh mendapatkan perkhidmatan-perkhidmatan tertentu secara dalam talian tanpa perlu membuat janji temu dan hadir ke kaunter.

“Secara umumnya, dalam tempoh enam bulan pelaksanaan projek rintis sepanjang PKP, JIM dan JPJ berjaya meningkatkan transaksi penggunaan perkhidmatan E2E, menaik taraf sebahagian besar perkhidmatan bukan E2E kepada E2E dan menutup operasi perkhidmatan di kaunter fizikal yang tidak diperlukan.

“Perkhidmatan dalam talian yang diperkenalkan di bawah projek rintis NPPA diteruskan seperti biasa untuk memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatan tersebut," katanya. 

Tambahnya, program NBPPA itu turut diperluas ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pada tahun ini.

Sementara itu, katanya, pihaknya akan memastikan kejayaan program NBPPA diteruskan pada masa hadapan dengan meletakkan rakyat sebagai keutamaan.

“Pandangan rakyat terhadap prestasi perkhidmatan digital kerajaan dalam norma baharu juga akan diambil kira melalui tinjauan secara berkala bagi menambah baik proses pendigitalan perkhidmatan kerajaan secara beterusan agar dapat memenuhi keperluan rakyat.

“Kita juga memastikan kompetensi penjawat awam dengan menyediakan latihan secara berperingkat dan berterusan yang disediakan di peringkat kementerian masing-masing, di institusi latihan seperti Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) termasuk kontraktor swasta yang menyediakan perkhidmatan seumpamanya,” ujarnya lagi.