Manchester United umum tandatangani Christian Eriksen

Astro Arena
Julai 16, 2022 01:30 MYT
Eriksen merupakan pemain ejen bebas selepas kontrak jangka pendeknya tamat di Brentford. - Foto AP
MANCHESTER United melengkapkan proses menandatangani pemain kebangsaan Denmark, Christian Eriksen, dengan kesepakatan selama tiga tahun.
Eriksen merupakan pemain ejen bebas selepas kontrak jangka pendeknya tamat di Brentford, yang sebenarnya berhasrat untuk mengekalkan pemain perancang berkenaan.
Beberapa pasukan lain turut dikaitkan untuk mendapatkan khidmat Eriksen, termasuk bekas kelabnya, Tottenham, namun United mengumumkan ketibaan pemain itu malam tadi.
Eriksen berkata: "Manchester United merupakan kelab yang istimewa dan saya tidak sabar untuk memulakannya."
Ia merupakan satu langkah yang besar buat Eriksen memandangkan dia hampir terkorban sewaktu mengalami serangan jantung ketika mewakili Denmark berdepan Finland dalam Euro 2020 pada Jun tahun lalu.
Eriksen menjadi pembelian kedua United dalam jendela perpindahan kali ini selepas turut mendapatkan pertahanan sayap, Tyrell Malacia, daripada Feyenoord.
#bola sepak #Manchester United #Christian Eriksen #Brentford