JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Batu Pahat terus menunjukkan penurunan kepada 967 orang setakat 8 pagi ini berbanding 1,086 yang direkodkan pada 8 malam tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan memaklumkan dua pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup iaitu Dewan Orang Ramai Sri Medan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Telok.

Dengan penutupan PPS tersebut, kini hanya tinggal lapan PPS yang masih beroperasi melibatkan 269 keluarga, menurut JPBN.

JPBN turut memaklumkan pada pagi ini, tiada sungai yang direkodkan berada pada paras bahaya.

Cuaca di keseluruhan 10 daerah di negeri ini juga dilaporkan cerah dan tiada hujan dijangka turun.

Tinjauan Bernama mendapati kawasan Parit Yaani dan Parit Raja, yang sebelum ini terjejas teruk akibat banjir, kini sudah semakin surut.

-- BERNAMA