JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor mencatat peningkatan hampir sekali ganda, dengan seramai 2,162 mangsa banjir direkodkan setakat jam 10 pagi, berbanding 1,297 mangsa pada jam 8 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Azmi Rohani berkata, kesemua mangsa ditempatkan di 25 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima daerah terjejas iaitu Segamat, Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru dan Kulai.

Katanya Segamat merekodkan jumlah mangsa banjir yang tertinggi, melibatkan 746 penduduk daripada 209 keluarga, yang ditempatkan di enam buah pusat pemindahan sementara (PPS).

"Disusuli Kluang melibatkan 650 mangsa banjir daripada 188 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS.

"Daerah Johor Bahru yang merekodkan seramai 560 mangsa daripada 131 keluarga, dengan enam PPS beroperasi.

"Daerah Kota Tinggi pula dengan 123 mangsa daripada 32 keluarga, berjaya dipindahkan ke tiga PPS. Manakala Kulai membuka satu PPS yang menampatkan 74 mangsa daripada 21 keluarga," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz melawat kawasan terjejas akibat banjir di Johor hari ini. - Foto APM

Menurut Azmi, banjir yang melanda beberapa daerah di negeri ini berpunca daripada hujan berterusan sejak semalam, sekali gus mengakibatkan peningkatan paras air berlaku di kawasan terlibat.

"Jabatan Meteorologi  juga menjangkakan hujan lebat berterusan melanda negeri Johor sehingga esok.

"Sepuluh air sungai di daerah terjejas juga melepasi paras bahaya, antaranya Sungai Segamat, Sungai Lenik di Caah, Sungai Kahang, Sungai Skudai, Sungai Ulu Pulai dan Sungai Sayong," katanya lagi.