ALOR SETAR: Mangsa banjir di Kedah kembali meningkat malam ini apabila sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Kota Setar iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Suka Menanti di sini.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof, berkata PPS itu menempatkan seramai 16 orang daripada enam keluarga.

Katanya, sehubungan itu, jumlah keseluruhan mangsa banjir meningkat kepada 337 orang setakat 8 malam ini berbanding 292 orang petang tadi.

"Mangsa banjir di daerah Pendang yang ditempatkan di Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah juga meningkat kepada 222 orang pada malam ini berbanding 207 orang petang tadi.

"Malah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS sedia ada yang masih dibuka di SK Langgar bagi daerah Kota Setar juga bertambah kepada 77 orang pada malam ini berbanding 63 orang pada petang tadi," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Bagaimanapun, Mohd Muaz berkata jumlah mangsa banjir yang berada di PPS Surau Permatang di daerah Pokok Sena masih kekal tidak berubah iaitu seramai 22 orang daripada lapan keluarga.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Alor Gajah, Melaka kembali dilanda banjir kilat pada malam ini selepas hujan lebat lebih 3 jam bermula kira-kira 4.30 petang tadi.

Jurucakap AP Melaka berkata hujan lebat berkenaan menyebabkan air sungai dan parit melimpah di kawasan yang rendah.

"Setakat ini dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Alor Gajah membabitkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Wah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal.

"Ketika ini, APM sedang giat memindahkan mangsa di kawasan terjejas ke dua PPS berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam ini.