RANTAU PANJANG: Mangsa banjir yang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan terus meningkat kepada 1,929 orang melibatkan 601 keluarga.

Hanya jajahan Pasir Mas yang terlibat dengan banjir gelombang ketiga selepas berlaku limpahan air Sungai Golok.

Bacaan paras air Sungai Golok masih lagi merekodkan bacaan paras bahaya namun menurun kepada 9.48 meter malam tadi.

Bagaimanapun, Sungai Golok di Tumpat menyaksikan peningkatan paras air dengan merekodkan bacaan  2.26 meter melebihi bacaan paras amaran.

LAMAN KHAS BANJIR

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kelantan, Kol (PA) Mohd Adzhar Mujab memaklumkan lebih 90 anggota APM ditugaskan membantu memindahkan mangsa banjir di jajahan Pasir Mas.

Beliau pada masa sama mengingatkan kanak-kanak supaya tidak bermain air banjir kerana bimbang kehadiran haiwan berbisa.

"Buat masa ini tiada panggilan haiwan berbisa tapi ada orang kampung lapor ada ular.

"Di sini APM menasihati berhati-hati masa banjir ini, pelbagai risiko lain muncul. Jangan biarkan ahli keluarga atau anak kecil bermain di kawasan berisiko, ada tempat dalam juga, sentiasa perhatikan anak masing-masing," katanya.

Jelas Mohd Adzhar lagi, setakat ini pihaknya tidak menerima panggilan menangkap ular atau haiwan berbisa sejak banjir melanda kali ini.

Namun peringatan awal perlu diberikan kepada kanak-kanak khasnya supaya menjauhi kawasan yang menjadi tempat haiwan berbisa berlindung, seperti kayu hanyut, di atas pokok dan sebagainya.