KUANTAN: Jumlah mangsa banjir di Pahang menurun dengan drastik iaitu daripada 2,797 orang membabitkan 847 keluarga di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi tadi, kepada kepada 232 membabitkan 67 keluarga petang ini.

Semua mereka adalah penduduk yang terjejas di daerah Kuantan dan Jerantut sehingga jam 4 petang.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa terdiri daripada 79 lelaki, wanita (81), kanak-kanak (62), bayi (10), warga emas (15) dan dua orang kurang upaya (OKU).

"Di Kuantan, PPS Balai Raya Kampung Pahang menempatkan 30 mangsa; Dewan Melati Penjara Penor (66); Balai Raya Kampung Sungai Soi (18) dan Dewan Mat Kilau (106).

"Sementara itu, sebuah PPS dibuka di daerah Jerantut hari ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak yang menempatkan 12 mangsa banjir.

"Selain itu, kesemua empat PPS yang dibuka di daerah Pekan sebelum ini yang menempatkan 110 mangsa telah ditutup dan mereka dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing ekoran banjir telah surut," menurut kemas kini portal berkenaan. 

Dalam pada itu, menerusi laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Keratong di Jambatan Bahau Keratong, Rompin dan Sungai Pahang di Paloh Inai, Pekan masih merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya.

Selain itu, enam sungai merekodkan bacaan melepasi paras amaran iaitu Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut; Sungai Pahang di Sungai Yap Jerantut; Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh ; Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran ; Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan dan  Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan.

Empat sungai merekodkan bacaan melepasi paras waspada iaitu Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera; Sungai Pahang di Waterfront, Bera; Sungai Pahang di Lubuk Pasu, Temerloh dan Sungai Pahang di Kampung Chenor,  Maran.