Mangsa banjir di pusat pemindahan Pulau Pinang meningkat

Dewi Nur Harasha Alias
November 8, 2017 09:17 MYT
Sadariah Osman, 67, merenung nasibnya di pusat pemindahan mangsa banjir di Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah di sini hari ini. - BERNAMA Foto
Jumlah mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan di Pulau Pinang meningkat kepada 4,454 orang daripada 1,115 keluarga, berbanding 3,482 orang daripada 914 keluarga yang dicatatkan pagi tadi.
Menurut jurucakap polis bilik gerakan banjir sehingga jam 2.30 petang ini, semua mangsa banjir ditempatkan di 30 pusat pemindahan di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT).
Tambahnya lagi, 2,766 mangsa banjir daripada 650 keluarga masih berada di pusat pemindahan di SPU, manakala 1,598 mangsa membabitkan 465 keluarga ditempatkan di SPT.
Walaupun beberapa jalan utama telah dibuka, beberapa jalan termasuk di Lahar Yooi, Padang Menora, di Tasek Gelugor masih ditutup kepada lalu lintas kerana masih dinaiki air.
Sementara itu, tinjuan mendapati pelbagai pertubuhan bukan kerajaan dan sukarelawan membantu menghulurkan bantuan dan membersihkan rumah di kawasan yang menyaksikan air mula surut.
Sehingga kini, banjir terburuk yang melanda Pulau Pinang sudah meragut tujuh nyawa.
#banjir #bantuan banjir #Lim Guan Eng #mangsa banjir #polis #pulau pinang #pusat pemindahan #surut #terburuk