Susulan banjir di Sabah, dilaporkan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di daerah Beaufort dan Tenom berkurangan kepada kira-kira 3,00 orang setakat tengah hari tadi.

Bernama melaporkan jurucakap bilik gerakan di kedua-dua daerah, masih terdapat 2,278 mangsa daripada 685 keluarga di enam pusat pemidahan di Beaufort, manakala di Tenom pula 706 mangsa membabitkan 129 keluarga di lima pusat pemidahan.

Laporan itu juga menyebut, jurucakap bilik gerakan banjir daerah Tenom memberitahu sejak tengah malam tadi sebanyak 17 pusat pemindahan di daerah tersebut telah ditutup.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Beaufort Mohd Sahid Othman berkata paras air Sungai Padas masih melebihi paras bahaya pada 9.17 meter.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dijangka melawat mangsa banjir di Beaufort hari ini.

Turut dijangka melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di daerah itu hari ini ialah Pengerusi Biro Kebajikan Umno/Barisan Nasional Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi menjangkakan ribut petir di perairan Bintulu dan Miri berterusan hingga awal petang ini dan boleh menyebabkan angin kencang hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter.

Keadaan yang sama juga akan berlaku di kawasan perairan Reef South dan Sulawesi yang berbahaya kepada bot-bot kecil.