Mangsa banjir di Sabah, Sarawak masih lebih 5,000

Bernama
Mei 23, 2021 03:50 MYT
Beaufort merekodkan peningkatan jumlah mangsa banjir kepada 611 orang berbanding 571 malam tadi, dengan satu lagi PPS dibuka. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Sabah mencatatkan sedikit peningkatan apabila 4,832 orang membabitkan 1,326 keluarga masih berlindung di 39 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pagi ini, berbanding 4,792 orang daripada 1,315 keluarga malam tadi.
Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, daerah Tenom adalah yang paling teruk terjejas dengan 4,221 mangsa ditempatkan di 35 PPS.
"Beaufort turut merekodkan peningkatan jumlah mangsa banjir kepada 611 orang berbanding 571 malam tadi, dengan satu lagi PPS dibuka menjadikan empat PPS aktif di daerah berkenaan," menurut kenyataan itu.
Di Sarawak, jumlah mangsa banjir yang melanda Lawas dan Limbang, Miri meningkat kepada 442 orang daripada 105 keluarga setakat pagi ini, berbanding 330 mangsa daripada 78 keluarga petang semalam.
Menurut JPBN Sarawak semua penduduk terjejas akibat banjir susulan hujan lebat sejak malam Rabu lalu kini ditempatkan di 10 PPS.
-- BERNAMA
#mangsa banjir #PPS #Pusat Pemindahan Sementara #Beaufort #JPBN #Tenom #Lawas #mati lemas #Limbang #Miri