Mangsa COVID-19 pertama meninggal dunia di Kelantan selamat dikebumikan

Muhafandi Muhamad
Mac 22, 2020 05:46 MYT
Kawasan tanah perkuburan dikawal oleh pihak polis bagi menghalang kehadiran orang ramai dan juga penduduk setempat.
Jenazah mangsa COVID-19 yang pertama meninggal dunia di Kelantan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Rantau Panjang, sekitar jam 3.30 pagi tadi.
Jenazah yang melibatkan kluster tabligh berusia 69 tahun itu meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab Dua, HRPZ II, Kota Bharu sekitar jam empat petang semalam.
Jenazah mangsa tiba di tanah perkuburan berkenaan sekitar jam 11 malam tadi diiringi hanya oleh petugas Jabatan Kesihatan dan polis.
Kawasan tanah perkuburan dikawal oleh pihak polis bagi menghalang kehadiran orang ramai dan juga penduduk setempat.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan kluster tabligh yang meninggal dunia itu berasal dari Rantau Panjang.
BACA: Empat lagi kematian terbaharu COVID-19 dicatatkan
Dia dimasukkan ke hospital Tumpat pada 16 Mac lepas selepas mengalami gejala sejak 12 Mac lalu.
Mangsa kemudiannya dipindahkan ke HRPZ II pada 18 Mac lepas selepas kesihatannya merosot dan memerlukan alat bantuan penafasan.
Kematian mangsa merupakan yang pertama melibatkan wabak COVID-19 di Kelantan setakat ini.
#coronavirus #COVID-19 #COVID19 #jenazah #Kementerian Kesihatan #KKM #koronavirus #Malaysia