Manifesto Barisan Nasional (BN) Kelantan atau aku janji yang diumum hari ini disifatkan lebih komprehensif untuk rakyat Kelantan dalam usaha memakmurkan negeri dan rakyat yang sekian lama ketinggalan, kata kata Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata aku janji itu dirangka begitu teliti dengan mengambil kira semua pandangan termasuk daripada parti komponen BN di negeri itu yang ingin memastikan Kelantan tidak lagi ketinggalan jika BN mendapat mandat di negeri itu pada pilihan raya umum ini.

"Kami mahu apabila diberi peluang oleh rakyat Kelantan untuk memerintah, banyak perkara seperti masalah asas iaitu air dan tanah akan selesai. Harap rakyat Kelantan buatlah pertimbangan yang wajar," katanya kepada pemberita selepas pelancaran manifesto bertemakan 'Rakyat Dihati Janji Ditepati' di Bangunan Umno di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin, Setiausaha Umno Kelantan Datuk Noor Zahidi Omar dan Pengerusi MIC Kelantan M Kuppusamy.

Dalam aku janji itu, BN Kelantan antara lain berjanji untuk mengubah landskap negeri ini dengan pelbagai pembangunan yang bakal menjadikan Kelantan membangun dan maju berpaksikan Islam.

Selain itu BN juga berikrar akan membawa satu perubahan yang lebih besar untuk anak-anak muda dengan pembaharuan, tekad dan cita-cita bagi memastikan masa depan mereka mendapat pembelaan selepas 23 tahun diabaikan PAS.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata sekolah agama rakyat yang diabaikan kerajaan negeri selama ini akan turut dibela dengan menjadikan sekolah itu lebih tersusun dan mampu berdaya maju.

Mengenai tarikh BN Kelantan akan mengumumkan senarai calonnya, Mustapa berkata ia akan dilakukan selepas Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak membuat pengumuman mengenai calon BN.

Mengenai budaya 'cah keting', Mustapa yakin masalah itu tidak akan berlaku kerana semua pihak telah menyatakan keazaman tinggi untuk memastikan BN menang di Kelantan.

Sementara itu beliau yakin pengundi di Putrajaya akan menolak calon PAS yang juga Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa untuk kerusi Parlimen itu pada PRU13.

"Putrajaya rata-ratanya adalah penjawat awam yang mendapat pembelaan kerajaan persekutuan selama ini dan Husam ketika di Kelantan telah gagal merencanakan program ekonomi seperti isu ladang depu dan kambing jamnapari.

"Nasihat saya kepada pengundi di Putrajaya agar membuat keputusan yang tepat," katanya.