Rakyat Malaysia diminta memberi masa kepada kerajaan sebelum membuat penilaian berhubung janji-janji dalam manifesto Pakatan Harapan sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Md Farid Md Rafik berkata usaha sedang dijalankan untuk mengotakan semua janji yang dibuat kepada rakyat.

"Diakui ada beberapa perkara dalam manifesto yang belum dapat dilaksanakan. Tetapi usaha berterusan sedang dilakukan oleh kerajaan.

"Malah saya berani katakan kerajaan sedang menggembleng tenaga dan usaha sedaya upaya untuk merealisasikan semua yang dijanjikan," kata Md Farid.

Dalam pada itu, beliau meminta agar rakyat tidak meminggirkan sisi positif yang berjaya dicatatkan kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sepanjang tempoh 100 hari pemerintahan.

"Saya juga berharap rakyat tidak melupakan bahawa banyak juga yang telah berjaya ditunaikan, antaranya pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan pembersihan senarai hitam peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang merupakan janji utama dalam manifesto," katanya.

Md Farid berkata demikian pada acara perasmian Festival Penghayatan Bulan Kebangsaan 2018 di Dataran Merdeka, pada Sabtu.