Manila sekali lagi gesa penceroboh berundur

Noor Azam Shairi
Mac 4, 2013 05:46 MYT
Pejabat Presiden Filipina sekali lagi menggesa waris Kesultanan Sulu yang menceroboh kedaulatan Malaysia dan sehingga kini masih berada di Sabah supaya berundur dan pulang ke Filipina.
Setiausaha Komunikasi Strategiknya, Ricky Carandang berkata, kumpulan penyokong waris Sultan Sulu itu mesti kembali ke Filipina kalau mereka mahu meneruskan rundingan mengenai isu kedaulatan ke atas Sabah.
Dalam satu temubual dengan sebuah stesen radio di Manila hari ini, Carandang berkata, Manila masih memberi perhatian kepada isu tuntutan waris Kesultanan Sulu ke atas Sabah.
"Tidak sekali pun kami mengatakan bahawa kami tidak peduli dengan tuntutan mereka ke atas Sabah. Kami tahu bahawa keluarga Kiram ada tuntutan ke atas Sabah dan kami bukannya tidak menghiraukan hal ini," katanya seperti dipetik laporan Inquirer.net
Menurut Carandang, Presiden Benigno Aquino III masih lagi meneliti isu berkenaan tetapi menegaskan, tiada sebarang alasan untuk pengikut waris Sultan Sulu itu terus berada di Sabah.
"Kalau mereka mahu berunding mengenai isu Sabah, ia sedang dibincangkan. Kami tidak nampak sebarang alasan kenapa mereka perlu berada di Sabah.
"(Apa yang kami kata ialah) kaji tuntutan itu di sini (Filipina) dan cari masa dan cara yang sesuai untuk menangani isu itu," katanya.
Carandang juga memberi tahu bahawa Aquino isu itu diselesaikan dengan aman.
Beliau juga sekali lagi mengulangi pendirian Manila bahawa tindakan mengirim kumpulan bersenjata untuk menuntut Sabah adalah salah.
Filipina mula membangkitkan isu kedaulatan Sabah pada 1962 apabila kerajaannya ketika itu menentang pembentukan Malaysia. Ia menggunakan asas bahawa wilayah yang suatu masa dahulu dikenali sebagai Borneo Utara adalah milik Kesultanan Sulu.
Tuntutan itu bagaimanapun tidak diiktiraf oleh Malaysia kerana Sabah adalah sebahagian daripada wilayah Malaysia yang sah dari segi fakta dan undang-undang.
#Lahad Datu #Manila #presiden filipina #Sabah #Semporna #Sulu