KUALA LUMPUR: Polisi serta dasar yang menyeluruh berkait sekuriti makanan perlu dilaksanakan kerajaan selepas memutuskan untuk memansuhkan Permit Import (AP) makanan.

Pakar pemasaran dan polisi pertanian, Datin Paduka Dr Fatimah Mohamed Arshad berkata, krisis tiga penjuru yang berlaku ketika ini iaitu pandemik COVID-19, perubahan iklim dan perang Rusia-Ukraine bakal memberi impak kepada Malaysia.

"Saya yakin krisis akan berlaku, sama ada besar atau kecil, itu tidak pasti, tapi krisis akan berlaku.

"Selain daripada masalah yang dihadapi dengan pasaran antarabangsa, kita (Malaysia) sendiri juga tidak bersedia kerana kita import beras 30 peratus atau satu pertiga, import daging lembu hampir 80 peratus, import kobis 90 peratus - kobis pun kita tak boleh nak keluarkan dan 60 peratus import makanan laut," katanya ketika ditemu bual Niaga AWANI.

Sekuriti Makanan | Perlu dasar menyeluruh

Jelasnya, nilai import makanan pada tahun 2021 adalah bernilai RM63 bilion dengan kadar defisit meningkat sehingga RM28 bilion.

Walaupun menyambut baik dasar baharu kerajaan itu, Fatimah dalam masa sama bimbang bakal berlaku jurang harga yang besar antara barangan tempatan dan import sekiranya berlaku lambakan.

"Katakanlah beberapa harga agrokomoditi terlalu rendah, mungkin kerajaan boleh fikir untuk mengenakan cukai import supaya harga tidak terlalu besar jurang di antara harga tempatan dan harga import.

"Ataupun kerajaan boleh melaksanakan kuota import supaya kita dapat pastikan berapa yang perlu diimport sekali gus mengelakkan lambakan," katanya.

Beliau juga mahu pelaksanaan pemantauan yang menyeluruh terutama berkait ketelusan pendaftaran pengimport termasuk mewujudkan pangkalan data import dan pengeluaran negara bagi mengetahui sekiranya berlaku kekurangan atau lambakan.