Lembaga Pengampunan akan menentukan sama ada banduan dibenar menjalani hukuman seumur hidup sebagai alternatif hukuman mati.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong turut akui tiada kesan retrospektif terhadap bantuan yang sedang menjalani hukuman susulan usaha kerajaan memansuhkan hukuman mati .

“Selepas hukuman mati dimansuhkan, dan kemudian lembaga pengampunan memutuskan bahawa seorang banduan diberikan pertimbangan alternatif penjara seumur hidup, maka dia perlu jalani hukuman dengan tempoh minimum 30 tahun, mulai hari ini, tidak mengambil kira tempoh sebelum itu.

“Kesan retrospektif adalah tidak adil pada mereka yang menjadi mangsa kes bunuh, terutama keluarga,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan P Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) yang bertanya sama ada pertimbangan kerajaan untuk menghapuskan pelaksanaan hukuman mati, bersandarkan prinsip kemanusiaan akan mempunyai kesan retrospektif atau retroaktif.

Vui Keong pada masa sama memberi jaminan pemansuhan hukuman mati yang dilaksanakan 142 negara di seluruh dunia, bukan tidak bermakna penjenayah atau pesalah akan bebas.

Sebaliknya, mereka akan menjalani hukuman penjara yang setimpal atas kesalahan yang dilakukan.