Mansuh, kurangkan caj tol bukti hubungan baik Malaysia-Singapura

Bernama
Januari 6, 2018 20:20 MYT
LTA Singapura mengumumkan mulai 1 Feb ini, kereta yang memasuki Singapura menerusi Woodlands tidak dikenakan caj tol. - Gambar fail/BERNAMA
Langkah kerajaan Singapura memansuhkan caj tol bagi kenderaan yang memasuki republik itu menerusi Pusat Pemeriksaan Woodlands dan mengurangkan caj bagi kenderaan keluar dari negara itu di pusat sama mulai 1 Feb, mencerminkan hubungan baik kerajaan republik itu dengan kerajaan Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata langkah itu juga merupakan tindakan seiring terhadap langkah Malaysia memberhentikan caj tol di Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Timur Johor (EDL) yang berkuat kuasa 1 Jan lepas.
"Kita menganggarkan sebanyak 20,000 hingga 25,000 kenderaan sehari dari Johor akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan ini, sekali gus memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya dan mengurangkan kesesakan lalu lintas, " katanya ketika dihubungi Bernama di sini, pada Sabtu.
Malam tadi, Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura mengumumkan mulai 1 Feb ini, kereta yang memasuki Singapura menerusi Woodlands tidak dikenakan caj tol, selaras dengan pemansuhan caj tol oleh Malaysia baru-baru ini di EDL.
Ketika ini caj tol bagi kenderaan yang memasuki Singapura menerusi Woodlands adalah S$2.70 (bagi kereta), S$4 (van/kenderaan ringan (perdagangan), S$5.30 (kenderaan berat -perdagangan), S$1.40 (teksi) dan S$2.20 (bas).
LTA juga mengumumkan caj tol bagi kereta keluar dari Singapura menerusi Woodlands akan dikurangkan kepada S$1 (caj sedia ada S$3.80), van/kenderaan ringan (perdagangan) S$1.50 (S$5.80), kenderaan berat (perdagangan) S$2 (S$7.70), teksi S$0.50 (S$1.90), dan bas S$0.80 (S$3.10).
-- BERNAMA
#caj tol #EDL #Ir Hasni Mohammad #Malaysia #Pusat Pemeriksaan Woodlands #Singapura #tol